comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia beri komitmen berterusan dalam usaha pertukaran pendidikan dengan AS

Mohammad Yusof bersama McFeeters pada sidang media selepas merasmikan Majlis Forum “Exploring Opportunities In Higher Education With Fulbright Malaysia & The United States” di Putrajaya. – FOTO : NSTP

PUTRAJAYA: Malaysia menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan terus menyokong aspirasi murni negara dan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mengukuhkan persefahaman serta menggalakkan pertukaran pendidikan antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ini kerana pendidikan tinggi memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat serta dalam usaha untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang mengejar objektif menjadi hab kecemerlangan pendidikan perlu mempertimbangkan proses internalisasi secara strategik.

“Selain itu, pemikiran yang teliti perlu diberikan dengan mengambil kira kesan globalisasi yang meletakkan nilai tinggi kepada pengetahuan ekonomi.

“Oleh itu kita perlu mengambil kesempatan daripada pertukaran ilmu antara kedua-dua negara dan permintaan dalam pendidikan tinggi melalui mobiliti individu yang mencari pendidikan tinggi berkualiti. Perkongsian ini sudah pasti membantu realisasikan aspirasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) Ke-60 di KPT di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Duta AS ke Malaysia, Brian D McFeetrs dan Pengarah Eksekutif MACEE, Curtis Johnson.

MACEE yang diasaskan pada tahun 1963 menawarkan biasiswa Fulbright Malaysia bagi mengikuti program pengajian di AS menerusi 12 program pengajian yang ditawarkan kepada warga Malaysia termasuk tiga program untuk warga AS dan setiap tahun, 35 pemohon terpilih menerima biasiswa itu.

Mengulas mengenai penambahan jumlah pemohon, Mohammad Yusof berkata, jumlah sedia ada sudah memadai namun jika ada keperluan pihaknya tiada masalah mengadakan perbincangan untuk menambahnya pada masa akan datang.

“Saya berterima kasih kepada Kedutaan AS yang mana selama ini kita dapat mengadakan kerjasama yang berjaya terutama dalam usaha memberikan pendedahan kepada pemohon berkenaan ilmu tambahan dan pengalaman dan amat berharap usahasama ini dapat diteruskkan,” katanya.

McFeeters berkata, pihaknya amat menggalakkan warga Malaysia memohon biasiswa itu supaya mereka mendapat manfaat menerusi program akademik dan penyelidikan yang ditawarkan di universiti di AS.

Katanya, ketika ini sudah hampir 1,000 warga Malaysia mendapat manfaat daripada biasiswa itu manakala 2,000 warga Amerika ke negara ini untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberikan komitmen berterusan untuk mengukuhkan kerjasama dalam perkongsian pendidikan ini.

“Malah, biasiswa Fulbright ini dilihat amat berkesan dan berjaya untuk kedua-dua negara bukan sahaja dalam pertukaran pendidikan tetapi juga dalam kebudayaan menerusi program pertukaran pelajar,” katanya.

Sementara itu, Johnson berkata MACEE amat berbesar hati dengan perjanjian binasional antara Malaysia dan AS hingga berjaya berkongsi pencapaian baharu menerusi ‘diplomasi pendidikan’ antara kedua-dua negara berkenaan.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini