comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia berpotensi jadi hub inovasi teknologi di Asia Tenggara

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2024.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Dengan jumlah 200,000 jurutera sedia ada yang berdaftar dengan Lembaga Kejuruteraan Malaysia (BEM), Malaysia berpotensi menjadi hub inovasi teknologi di rantau Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bidang kejuruteraan bukan sahaja dilihat sebagai satu penyelesaian masalah, tetapi juga satu sektor yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi.

“Yang kita perlukan sekarang ialah jurutera, yang bukan sahaja dapat buat rekaan, bukan sahaja yang dapat buat bangunan tapi untuk mencari penyelesaian kepada permasalahan bukan saja di negara kita tetapi juga di seluruh dunia, dengan penyelesaian daripada kajian yang kita majukan, kita dapat membekalkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi dunia dalam pelbagai sektor.

“Sama ada bangunan, struktur termasuk kaedah-kaedah pembinaan, apatah lagi sekarang kita menuju kepada teknologi hijau, itu juga memerlukan kepakaran jurutera untuk menjaga kelestarian alam sekitar.

“Dengan kerjasama antara semua pihak berkepentingan dalam kerajaan, akademia, pelarih industri, NGO dan sektor swasta, kita boleh jadikan Malaysia sebagai hub untuk bangunkan sektor kejuruteraan,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Konvensyen Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) 2024 di sini, hari ini.

Konvensyen yang berlangsung sehingga 4 Oktober ini menghimpunkan lebih 300 jurutera bagi membincangkan cabaran memperkasakan bidang kejuruteraan dalam usaha memajukan negara.

Fadillah turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara BEM dengan beberapa institusi pengajian tinggi, yang bermatlamat memperkukuhkan proses pendaftaran pendaftaran graduan bidang kejuruteraan ke dalam BEM, sebagai persediaan pekerjaan mereka dalam bidang itu.

Antara yang terlibat adalah Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini