Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
PUTRAJAYA: Malaysia mampu diangkat kembali menjadi sebuah negara yang hebat dalam masa dua ke tiga tahun lagi berdasarkan keupayaan dan potensi yang ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu mampu direalisasikan hasil pendekatan dan kerjasama penuh yang diberi semua pihak termasuk penjawat awam.
“Saya meluahkan idea, cara terbuka dari segi konsep pendekatan supaya rakan penjawat awam dapat memberi kerjasama sepenuhnya.
“Saya yakin sebab Allah SWT banyak menguji saya, ada kesabaran, menjadi lebih waras, tetapi selepas melihat sepak terajang politik dan apa yang berlaku dalam pentadbiran negara, saya yakin dengan semangat baharu, beri masa dua atau tiga tahun, Malaysia dapat diangkat sebagai satu negara hebat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium MADANI Perkhidmatan Awam 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan sekali lagi agar kaedah lama dalam meluluskan aktiviti pelaburan dari luar negara dirombak serta perlu dipercepatkan biarpun melanggar peraturan sedia ada.
Katanya, peraturan terbabit tidak seharusnya menjadi penghalang selagi ia tidak menyebabkan berlakunya rasuah dan penyelewengan.
“Kaedah lama tidak boleh pakai lagi, orang minta nak labur tunggu lapan bulan baru bagi jawapan, saya kata tidak boleh, kalau kita langgar sikit-sikit peraturan selagi tidak rasuah dan tidak berlaku penyelewengan.
“Yang menjadi masalah kalau mencuri wang negara. Saya ada jumpa pelabur di New York, dia kata Malaysia ini semua baik dan profesional, tetapi yang lambat ialah kelulusan, dia banding dengan Vietnam, saya tak boleh terima, jadi kita harus percepatkan,” katanya.
Mengenai rasuah, penyelewengan dan pembaziran, Perdana Menteri menegaskan ia harus dihentikan kerana memberi kesan pengagihan kepada golongan memerlukan.
Beliau berkata, pembaziran akan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit, selain amalan itu perlu dibanteras dengan tekad politik dari Jemaah Menteri serta dukungan pegawai kanan kerajaan.
“Paling ketara ialah kerana tatakelola dan penyelewengan diterima sebagai satu sistem kerana beberapa skandal besar tidak mungkin berlaku hanya dengan ahli politik yang korup.
“Dia kadang-kadang bersekongkol dengan seluruh sistem manakala ilmuan dan ahli akademik diam membisu dan pentadbir yang susah terima kenyataan ini, tidak mampu melakukan perubahan,” katanya.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara dan pimpinan penjawat awam kerana mempamerkan prestasi membanggakan dalam tempoh hampir setahun Kerajaan Perpaduan memerintah.