Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
RIO DE JANEIRO: Malaysia dan Brazil menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera dan kekal terhadap konflik yang sedang berlaku di Gaza.
Kesepakatan itu diperoleh dalam pertemuan dua hala di luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva di Forte de Copacabana, di sini.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan 30 minit itu, kedua-dua pemimpin turut menuntut Israel memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki dapat disalurkan tanpa sekatan.
“Kedua-dua pemimpin juga sekali lagi menegaskan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang bebas dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, mengikut sempadan pra-1967, serta keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Anwar dan Lula menegaskan komitmen masing-masing untuk memerangi ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan serta berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin juga menekankan kepentingan untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan dan pertanian, sains, teknologi dan inovasi, semikonduktor serta alam sekitar dan perubahan iklim.
Mereka turut mengalu-alukan pelancaran ‘Pakatan Global Menentang Kelaparan dan Kemiskinan’.
“Presiden Lula menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan ini sebagai anggota pengasas.
“Kedua-dua pemimpin turut mengulangi komitmen mereka terhadap usaha kolektif bagi membasmi kelaparan di seluruh dunia menjelang akhir dekad ini, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” menurut kenyataan itu.
Anwar mengadakan lawatan sulung ke Brazil antara lain bagi pertemuan dua hala dengan Presiden Brazil dan menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Kehadiran Anwar adalah atas jemputan Lula yang mencerminkan hubungan diplomatik yang mesra antara kedua-dua negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.