comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia-Brunei: Anwar menghadap Sultan Hassanal Bolkiah

 

Oleh Safwan Sawi

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, pagi tadi.

Selain mengukuhkan hubungan negara jiran itu sempena rangka lawatan rasmi Perdana Menteri, perbincangan empat mata antara kedua-dua pemimpin turut menyentuh soal kerjasama dua hala termasuk dalam menangani cabaran serantau dan global.

Datuk Seri Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Istana Nurul Iman pada jam 11.05 pagi.

Turut berangkat pada majlis menghadap berkenaan, Isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Pada sesi menghadap itu, Perdana Menteri turut diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Datuk Seri Anwar Kemudian mengadakan pertemuan empat mata kira-kira setengah jam bersama Sultan Hassanal Bolkiah.

Usai pertemuan, Datuk Seri Anwar menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Lembaga Pelaburan Brunei, (BIA).

Datuk Seri Anwar seterusnya menghadiri Majlis Santapan Rasmi yang dihoskan Sultan Brunei.

Selain mengukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri bermula semalam ke Brunei juga susulan hasil lawatan khas Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia November lalu.

Lawatan ke Brunei Darussalam adalah lawatan rasmi kedua Datuk Seri Anwar ke luar negara selepas Jakarta pada 8 Januari lalu.

Manakala lawatan ke Brunei adalah lawatan pertama beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas dilantik jawatan itu pada November lalu.

Loading...
Terkini