comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia capai kadar prevalen antibodi filariasis kurang dua peratus pada 2022

PUTRAJAYA: Malaysia berjaya mencapai sasaran kadar prevalen antibodi filariasis kurang daripada dua peratus di 125 mukim endemik pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sasaran itu dicapai menerusi Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan (PEFLK) yang dilancarkan sejak 2002 di 127 mukim endemik filariasis di Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Sasaran PEFLK adalah menurunkan kadar prevalen individu positif antibodi filariasis kepada kurang daripada dua peratus atau kurang daripada dua orang bagi setiap 100 penduduk di kawasan endemik yang disaring.

“Masih terdapat tiga mukim di Sarawak dan dua mukim di Sabah belum berjaya mencapai prevalen antibodi filariasis kurang daripada dua peratus (pada 2022).

“Kes positif antibodi filariasis juga masih dikesan terutamanya di mukim berkenaan hasil daripada aktiviti saringan aktif, iaitu 231 kes pada 2020 dan masing-masing 269 kes pada 2021 dan 2022,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTD) hari ini.

Bagi pesakit yang mengalami komplikasi untut pula, beliau berkata sebanyak 76 kes didaftarkan namun tiada kes baharu sejak 2004.

Filariasis limfatik atau penyakit untut merupakan penyakit di bawah kategori penyakit bawaan vektor di bawah NTD yang dikesan di Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata penyebab filariasis limfatik adalah cacing filaria yang disebarkan oleh nyamuk Mansonia spp., Culex spp. dan Anopheles spp. yang menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa bersama cacing filaria kepada individu sihat lain.

Spesies cacing filaria yang terdapat di Malaysia ialah Brugia malayi.

Cacing filaria dewasa hidup antara enam hingga lapan tahun dalam sistem saluran limfatik, yang menyebabkan kerosakan terutamanya pada bahagian kaki dan tangan, serta mengakibatkan untut (kaki gajah) dan hydrocele (pembengkakan skrotum).

Filaria dewasa pula menghasilkan berjuta-juta mikrofilaria yang hidup dalam peredaran darah manusia dan ditularkan kepada individu lain melalui gigitan nyamuk. – BERNAMA

Loading...
Terkini