comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-China kerjasama bangunkan teknologi UAV

Oleh: Ridhuan Hussain

SHANGHAI: Usaha meneroka Teknologi Pesawat Tanpa Pemandu, U-A-V akan dipergiatkan menerusi kerjasama erat Malaysia-China.

Penerokaan itu meliputi pelbagai aspek termasuk pertukaran dan perkongsian kepakaran serta teknologi bidang tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu melibatkan MARA Aerospace & Technologies Sdn Bhd dan syarikat ketiga terbesar dalam teknologi itu di China, Honeycomb Aerospace Technologies (Beijing) Co Ltd.

Langkah itu membolehkan Malaysia menghasilkan teknologi yang banyak digunakan dalam bidang pertanian dan kawasan sempadan sekali gus memenuhi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Sebagai permulaan, syarikat ini akan memindahkan teknologi ini kepada University Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) di Sepang untuk melatih pelajar dalam pembuatan UAV selain akan mulakan pemasangan pertama UAV pada bulan depan dengan sasaran penghasilan awal sebanyak 3,000 unit setahun.

“Pada tahun hadapan, syarikat ini akan melabur RM100 juta untuk membuka premis kekal bagi melatih pelajar dalam bidang TVET,” ujarnya selepas menghadiri majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkenaan di bandar itu di sini, hari ini.

Tambahnya, penggunaan teknologi dalam bidang pertanian tersebut akan dimulakan di kawasan penanaman padi FELCRA untuk proses pembajaan, peracunan, dan lain-lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini