comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-China tubuh kumpulan kerja khusus tangani judi haram dalam talian 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan China bersetuju menubuhkan kumpulan kerja khusus bagi menangani isu perjudian secara haram dalam talian.

Pejabat Menteri Dalam Negeri memaklumkan, perkara itu disepakati dalam mesyuarat bilateral di antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong semalam.

“Kedua-dua negara bekerjasama merangka undang-undang meningkatkan keupayaan penguatkuasaan serta memperbaiki kerjasama merentas sempadan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Mesyuarat bilateral itu berlangsung selepas Datuk Seri Saifuddin Nasution menghadiri Forum Keselamatan Global 2024 di Lianyungang City, China.

Di dalam pertemuan tersebut, kedua-dua menteri bersetuju untuk membangunkan dan melaksanakan strategi kerjasama dalam mempertingkatkan usaha menangani jenayah transnasional.

Ini termasuk usaha kolaboratif bagi menangani dan mencegah aktiviti jenayah merentasi sempadan dengan memanfaatkan sumber serta maklumat bersama.

Mengulas lanjut, Pejabat Menteri Dalam Negeri berkata, jnisiatif lain yang turut dibincangkan adalah pelaksanaan mekanisme global yang menggabungkan Pengenalan Wajah Definisi Tinggi dan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) terkini bagi memperkukuh keselamatan awam.

“Secara amnya, kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam usaha mempertingkat keselamatan awam dengan meningkatkan pertukaran maklumat di antara kedua-dua negara dan melaksanakan langkah kawalan yang lebih berkesan untuk mencegah dan menangani ancaman yang berkaitan dengan keganasan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, perbincangan dua hala terbabit menekankan komitmen kedua-dua negara untuk mengukuhkan kerjasama dalam isu keselamatan awam.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam menghadapi cabaran keselamatan bersama dan mempromosikan kestabilan serantau.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, kerjasama Malaysia-China menerusi perkongsian perisikan dan penyelarasan operasi penguatkuasaan dalam memerangi perjudian dalam talian dan judi haram menampakkan hasil.

Jelasnya, bilangan tangkapan warga China yang terlibat jenayah itu menurun daripada 1,225 orang pada 2020 kepada 79 orang pada 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini