comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia dan Australia kukuhkan kerjasama pertahanan

 

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad 

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia mengukuhkan lagi komitmen kerjasama berpandukan Malaysia-Australia Joint Defence Program atau MAJDP.

Ia dicapai dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia Richard Marles di Kementerian Pertahanan, Jalan Padang Tembak, di sini hari ini.

Menerusi kenyataan media hari ini, kedua-dua pemimpin terbabit memperakukan keutuhan kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Australia, yang berasaskan sejarah, keyakinan, dan saling menghormati, yang diterjemahkan menerusi Kerjasama Strategik Komprehensif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan), dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles, bertukar kenyataan bersama ketika Lawatan Rasmi ke Kementerian Pertahanan di Wisma Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. – Foto : NSTP

“Richard Marles menyatakan penghargaan kepada Malaysia kerana kekal menjadi hos kepada Angkatan Tentera Australia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth.”

“Kedua-dua pihak juga mengiktiraf kepentingan Rifle Company Butterworth di mana penugasan berterusan mereka telah meningkatkan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan Tentera.”

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan penghargaan kepada Australia kerana menyokong projek penaiktarafan infrastruktur Pangkalan Udara Butterworth.

“Kedua-dua Menteri mengalu-alukan kemajuan projek penaiktarafan yang signifikan di pangkalan udara berkenaan.”

Datuk Seri Mohamad Hasan dan Marles juga turut mengesahkan kepentingan Operasi Gateway yang menyumbang ke arah keselamatan dan kestabilan serantau secara berterusan.

“Mereka berdua berkongsi pandangan sama berkaitan kepentingan meningkatkan kesedaran domain maritim (maritime domain awareness) menerusi pembangunan keupayaan dan kebolehoperasian antara kedua-dua angkatan tentera.”

Kedua-dua pemimpin itu juga menyatakan komitmen mereka terhadap Peraturan Pertahanan Lima Negara, atau Five Powers Defence Arrangements (FPDA) yang kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.

“Berpandukan prinsip aturan ini, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara ahli”

Loading...
Terkini