comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia dapatkan maklumat ‘jangkitan bakteria pemakan daging’

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia akan memperoleh maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung situasi Sindrom Kejutan Toksik Streptococcal (STSS) atau ‘jangkitan bakteria pemakan daging’ yang dilapor membimbangkan di Jepun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat itu penting supaya negara dapat mengambil langkah kawalan pencegahan sewajarnya.

“Kita belum dapat apa-apa maklumat atau perkembangan (STSS). Mungkin juga kita memerlukan input daripada WHO. Ia sangat mustahak.

“Itu sebab platform antarabangsa seperti WHO, IHR (Peraturan Kesihatan Antarabangsa) dan persediaan pandemik itu mustahak,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran mybrp@CKAPS, di sini hari ini.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bersedia untuk mengambil langkah seterusnya sejurus menerima maklumat dan perkembangan situasi itu.

“Buat masa ini, ia (kes) belum sampai lagi kepada CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan) atau bahagian jangkitan kita,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, menurut data Institut Penyakit Berjangkit Nasional (NIID), Jepun mencatatkan kes STSS melebihi 1,000 pada tahun ini.

Setakat 9 Jun, jumlah kes awal di negara itu sejak awal tahun 2024 mencecah 1,019, menandakan peningkatan ketara dalam penyebaran jangkitan bakteria yang teruk ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

STSS juga dikenali sebagai jangkitan streptokokus invasif teruk, adalah penyakit yang bermula secara tiba-tiba yang disebabkan oleh Streptokokus Kumpulan A.

Gejala awal biasanya termasuk sakit tekak, demam, hilang selera makan, cirit-birit, muntah dan masalah gastrousus lain, serta gejala septik seperti tekanan darah rendah.

Jika tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan kerosakan tisu lembut, kegagalan pernafasan, kegagalan hati, kegagalan buah pinggang dan kegagalan pelbagai organ, dengan kadar kematian melebihi 30 peratus.

STSS disebarkan terutamanya melalui titisan daripada mukosa hidung atau tekak dan melalui sentuhan dengan luka.

Mengenai mybrp@CKAPS, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, sistem yang dibangunkan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan itu adalah sistem aplikasi dalam talian untuk permohonan di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].

Jelasnya, bagi permulaan Fasa 1(a), sistem berkenaan melibatkan Modul Pembaharuan Lesen Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta bagi menggantikan proses kerja manual dan dijangka dapat meningkatkan kecekapan pemprosesan permohonan, seterusnya mempercepat proses pengeluaran lesen.

“Kalau dulu, ia diurus penyambungan (pengeluaran lesen) lapan bulan, saya dapat komitmen daripada seluruh pasukan CKAPS bahawa mereka bertekad untuk menurunkan waktu mengurus (lesen) hanya kepada tiga bulan. KPI (indeks petunjuk prestasi) dua hingga tiga bulan. Banyak penjimatan kepada pemain industri fasiliti kesihatan swasta,” katanya.

Modul pembaharuan lesen berkenaan boleh diakses mulai 1 Julai ini di laman sesawang https://www.mybrp.moh.gov.my dan dibuka kepada pemohon daripada fasiliti kesihatan swasta yang memegang lesen premis yang akan luput antara 1 Januari 2025 hingga 1 Mac 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini