Tumpuan :
Nasional

Malaysia diiktiraf pihak antarabangsa dalam usaha perangi rasuah

 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan usaha Malaysia dalam membanteras rasuah semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, pengiktirafan ini dapat dilihat apabila kerajaan Qatar meminta kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merangka program antirasuah bagi negara-negara Islam.

“Imej kita dalam usaha membanteras rasuah kini semakin dipandang tinggi, bukan sahaja berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah, tetapi juga melalui pengiktirafan dari negara-negara lain.

“Minggu depan, Qatar akan menghantar rombongan utama termasuk menteri untuk bekerjasama dengan SPRM dalam merangka program pembanterasan rasuah. Ini adalah pengiktirafan besar terhadap peranan SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut menyatakan bahawa perkhidmatan awam sedang melalui proses transformasi menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan.

“Sebagai langkah awal, kita telah menambah baik skim persaraan untuk mengiktiraf sumbangan penjawat awam, sambil menuntut perubahan yang lebih besar.

“Kita akan menilai tahap kecekapan perkhidmatan, contohnya masa pemprosesan kelulusan oleh JPJ, pendaftaran syarikat, dan permohonan universiti swasta. Semua ini adalah sebahagian daripada usaha memastikan tahap kecekapan terus meningkat,” katanya.

Menurut Anwar, reformasi hanya bermakna jika tahap kecekapan perkhidmatan awam turut ditingkatkan seiring dengan perubahan yang dirancang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini