Tumpuan :
Nasional

Malaysia dikenali di pentas dunia, diplomasi PM dikagumi – KSN

Shamsul Azri pemikiran futuristik dan keberanian Perdana Menteri dalam adaptasi teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), telah menarik minat syarikat gergasi seperti Google.

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan di peringkat antarabangsa, dengan kepimpinan diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat perhatian masyarakat global.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menyatakan bahawa pemikiran futuristik dan keberanian Perdana Menteri dalam adaptasi teknologi, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), telah menarik minat syarikat gergasi seperti Google.

“Pemikiran futuristik Perdana Menteri terserlah apabila Naib Presiden Google, Karan Bhatia, memuji usaha beliau dalam bidang AI. Google bersetuju melabur sebanyak AS$2 bilion di Malaysia, mencerminkan keyakinan terhadap kepimpinan dan potensi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Shamsul Azri turut memuji lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi, Mesir, Peru, dan Brazil yang berjaya meningkatkan profil Malaysia sebagai negara yang mendukung kesejahteraan sejagat.

“Misi ke Peru menarik potensi pelaburan sebanyak RM1.2 bilion, kerjasama dengan Mesir mencipta potensi eksport berjumlah RM4.8 bilion, manakala hubungan dengan Brazil mengetengahkan Malaysia sebagai hab serantau bagi sub-sektor semikonduktor dengan potensi eksport RM6.8 bilion,” jelasnya.

Menurut beliau, manfaat daripada lawatan itu termasuk penciptaan peluang pekerjaan baharu dalam sektor berkemahiran tinggi, peningkatan gaji pekerja, serta limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan melalui peluang perniagaan lebih luas.

Pembangunan infrastruktur yang dipacu pelaburan itu juga dijangka meningkatkan tahap sosio-ekonomi masyarakat.

“Siri lawatan ini jelas menunjukkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan dalam ekonomi global sambil memastikan rakyat menerima impak positif secara langsung,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini