comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia dipilih negara paling disayangi di Asia

Oleh: Ahmad Kamarulzaman Hamid

PETALING JAYA: Malaysia diletakkan pada kedudukan teratas dalam senarai 20 Negara Paling Disayangi di Asia oleh Insider Monkey, sebuah portal penyelidikan antarabangsa yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Penyenaraian ini meletakkan Malaysia di tangga pertama mengenepikan negara-negara Asia lain antaranya Singapura pada kedudukan ke-3, Jepun (4), Korea Selatan (6), Thailand (11) dan Indonesia (12).

Portal berkenaan mengambil kira ranking-ranking yang diterima setiap negara menerusi lima artikel yang diterbitkan sepanjang tahun 2023 di laman web rasminya.

Ia merangkumi artikel bertajuk 15 Negara Paling Dihormati di Asia, 15 Negara Paling Mesra di Asia, 20 Negara Paling Banyak Dilawati di Asia, 20 Negara Paling Pelbagai di Asia dan 20 Negara Paling Demokratik di Asia.

Malaysia berada pada kedudukan teratas senarai itu kerana penjumlahan ranking-ranking yang konsisten dengan markah keseluruhan 0.701, jauh meninggalkan Taiwan di tangga kedua yang memperoleh 0.595 markah.

“Malaysia ialah negara yang paling disayangi di Asia kerana ia berada pada kedudukan tinggi pada semua metrik yang dipertimbangkan dalam penyelidikan kami. Ia adalah negara keenam paling demokratik di benua itu. Selain itu, ia adalah negara kelima paling banyak dikunjungi di Asia, mengalu-alukan lebih 10 juta pelancong pada tahun 2022,” ujar  Insider Monkey.

“Orang ramai menuju ke negara-negara Asia Tenggara bukan sahaja untuk mendapatkan pengalaman di pantai yang menakjubkan atau kehidupan bandar yang mewah, tetapi juga meneroka budaya dan tradisi tempatan yang diperkayakan lagi dengan penduduk tempatan yang peramah dan mesra.” tambah portal itu lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini