comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia dipilih tuan rumah WSSF ketujuh

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed bertukar dokumen dengan wakil ISSA selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan ISSA sewaktu WSSF 2022 untuk menjadi tuan rumah kepada WSSF 2025.

KUALA LUMPUR: Malaysia telah diterima sebagai tuan rumah bagi Persidangan Agung International Social Security Association (ISSA) dan World Social Security Forum (WSSF) ke-7 yang akan diadakan pada tahun 2025.

Pengumuman itu dibuat pada WSSF 2022 yang diadakan di Maghribi, baru-baru ini. WSSF 2022 dihadiri oleh 321 ahli dari 161 negara yang menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal keselamatan sosial.

Susulan pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan ISSA sebagai tuan rumah persidangan dan forum yang dijangka menghimpunkan lebih daripada 2,000 pengamal dan pakar keselamatan sosial daripada 161 negara.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, dengan mandat pemilihan beliau sebagai Presiden ISSA untuk tempoh 2023-2025 dan pilihan Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan Agung ISSA ke-35 dan WSSF 2025, diharapkan agenda keselamatan sosial di Malaysia terus diperkukuh dan dikembangkan lagi.

ISSA yang ditubuhkan pada tahun 1927 dan berpusat di Geneva, Switzerland adalah pertubuhan antarabangsa dalam bidang keselamatan sosial bernaung di bawah Pertubuhan 2 Buruh Antarabangsa (ILO).

Ia berperanan sebagai platform global bagi membincangkan dasar, strategi serta inovasi dalam bidang keselamatan sosial.

Penganjuran persidangan kemuncak WSSF diadakan pada setiap tiga tahun adalah antara inisiatif ISSA yang mengumpulkan menteri, pegawai kanan, pengamal dan pakar dalam bidang keselamatan sosial. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini