comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia gesa OIC bersatu selesai isu Gaza

 

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meneruskan usaha dan meningkatkan kerjasama dengan semua negara dalam mencapai empat matlamat utama termasuk pelaksanaan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan di Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini menjelaskan, gesaan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Sesi Ke-15 Sidang Kemuncak OIC di Banjul, Republik Gambia, berlangsung Sabtu dan Ahad.

Selain itu, katanya Malaysia juga mahu penyaluran bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan serta memastikan Israel dibawa ke muka pengadilan ke atas pencabulan undang-undang antarabangsa dan Palestin pula diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Dalam kenyataan itu, Menteri Luar menyeru negara-negara anggota OIC mengeratkan perpaduan dalam mengharungi cabaran yang dihadapi oleh dunia Islam, terutamanya bagi menangani isu di Palestin dan Asia Barat.

“Menteri Luar juga menyeru OIC meningkatkan usaha dalam memerangi Islamofobia. Beliau turut mengetengahkan inisiatif diambil Malaysia dalam mempromosikan dialog antara agama dan dialog antara budaya sebagai salah satu wadah memupuk kesejahteraan sejagat, kesederhanaan dan toleransi agama untuk menangani masalah perbezaan dan ketidakfahaman yang menjadi punca kepada Islamofobia,” katanya.

Selain itu, katanya Menteri Luar juga menggesa OIC untuk meneruskan usaha bagi membantu masyarakat minoriti Muslim di negara-negara bukan anggota OIC, termasuk Rohingya, yang tertindas.

“Beliau turut menekankan kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dalam kalangan negara-negara anggota OIC bagi memacu agenda pembangunan mampan,” katanya.

Sempena sidang kemuncak itu, katanya Menteri Luar turut menyertai sesi taklimat oleh Menteri Keadilan dan Peguam Negara Republik Gambia mengenai perkembangan berkaitan prosiding oleh Republik Gambia ke atas Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Rohingya.

“Malaysia memuji usaha diambil Republik Gambia bagi pihak OIC dalam kes berkenaan. Malaysia turut berpandangan bahawa ICJ adalah jalan terbaik untuk memastikan akauntabiliti dan menghentikan kekejaman terhadap komuniti Rohingya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya sidang kemuncak itu juga sudah meluluskan tiga dokumen hasil, iaitu Kenyataan Akhir Sesi Ke-15 Sidang Kemuncak OIC, Deklarasi Banjul dan Resolusi berhubung Isu Palestin dan Al-Quds Ash-Sharif.

“Dokumen-dokumen hasil berkenaan menggariskan komitmen dan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan oleh negara-negara anggota OIC dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh umat Islam,” katanya.

Ketika di Banjul juga katanya, Menteri Luar juga mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawat beliau daripada Bangladesh, Dr Hasan Mahmud.

“Kedua-dua menteri membincangkan usaha-usaha untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala, termasuk meneroka peluang-peluang baharu dalam bidang perniagaan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini