comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia gesa PBB hentikan keganasan di Semenanjung Gaza

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang khas menuntut semua pihak menghentikan keganasan, sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam, susulan pergolakan di Semenanjung Gaza.

Wisma Putra berkata, Malaysia juga amat bimbang dengan jumlah nyawa yang terkorban akibat pertempuran di sekitar Semenanjung Gaza.

“Punca utama mesti diakui. Rakyat Palestin diselubungi pendudukan haram sejak sekian lama, sekatan dan penderitaan, serta pencerobohan Al-Aqsa, selain politik perampasan oleh Israel.

“Tindakan tidak konsisten ke atas rejim Israel telah menimbulkan persoalan kepada prinsip antarabangsa dan secara tidak langsung mewujudkan keperluan supaya pendirian lebih konsisten disuarakan dalam menangani pentadbiran ala ‘aparteid’ rejim itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, seharusnya tiada layanan tidak adil dan hipokrit dalam menangani rejim yang terang-terangan mengamalkan aparteid serta melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

Katanya, rakyat Palestin berhak hidup aman dalam lingkungan sempadan yang diiktiraf berdasarkan persempadanan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Majlis Keselamatan PBB mesti bertanggungjawab seperti yang diamanatkan dalam piagamnya untuk mengekalkan keamanan serta keselamatan antarabangsa,” katanya.

Loading...
Terkini