comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia hanya tandatangani perjanjian antarabangsa jika patuh tiga prinsip utama

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengangkat kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan sekiranya instrumen Pindaan Bersasar Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005 dan Perjanjian Pandemik yang bakal dimuktamadkan mengutamakan tiga prinsip asas terutama kedaulatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga kerajaan tidak menandatangani instrumen berkenaan, maka kerajaan tidak akan terikat dengan instrumen berkenaan.

“KKM mengambil maklum dakwaan sesetengah pihak bahawa Malaysia mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan pindaan bersasar dokumen IHR 2005.

“Namun begitu, KKM ingin menegaskan bahawa penyertaan Malaysia dalam kedua-dua platform rundingan ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan kesihatan awam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau merujuk kepada dua platform rundingan antarabangsa iaitu ‘Intergovernmental Negotiating Body’ (INB) bagi menghasilkan instrumen antarabangsa yang dikenali sebagai Perjanjian Pandemik dan ‘Working Group on Amendments to the International Health Regulations’ (WGIHR) untuk membuat pindaan bersasar kepada IHR 2005.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama semua Negara Anggota, yang mana Malaysia adalah satu daripadanya telah bersepakat untuk menubuhkan platform berkenaan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, penubuhan kedua-dua platform itu bagi memperkukuh aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan dan respon terhadap kecemasan kesihatan menghadapi pandemik pada masa akan datang di peringkat antarabangsa.
“Perlu ditegaskan bahawa kedua-dua sesi rundingan ini diterajui sepenuhnya oleh Negara Anggota manakala WHO hanya bertindak sebagai Sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan adalah tertakluk kepada persetujuan Negara Anggota,” katanya.

Mengulas lanjut, jelasnya instrumen perjanjian tersebut wajib mematuhi tiga prinsip utama iaitu kedaulatan yang mana kedaulatan negara serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dipastikan tidak akan disentuh.

Prinsip lain adalah kesamarataan iaitu negara maju perlu membantu negara membangun bagi menjamin agihan sumber seperti produk kesihatan berkaitan pandemik adalah adil dan saksama serta tidak dimonopoli negara maju.

Selain itu, instrumen terbabit perlu mematuhi prinsip pendanaan yang mana pewujudan mekanisme kewangan kecemasan kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pandemik tidak akan melibatkan sebarang dana tambahan.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly, sehingga kini, rundingan masih diteruskan yang mana rundingan INB ke-9 (sambungan) yang diadakan pada 29 April sehingga 10 Mei lalu dilanjutkan sehingga hari ini bagi menentukan hala tuju penyediaan dokumen baharu tersebut.

Rundingan WGIHR ke-8 (sambungan) yang berlangsung pada 16 hingga 18 Mei lalu juga diteruskan sehingga hari ini.

Menteri Kesihatan berkata, beliau akan mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) yang akan berlangsung pada 27 sehingga 31 Mei ini antara lain membincangkan perkembangan laporan hasil rundingan bagi Pindaan Bersasar IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik.

“Pihak WHO juga menyatakan bahawa Peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepada WHO untuk mengarahkan atau memaksa sesebuah negara untuk mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan atau perintah kawalan pergerakan (lockdown) atau lain-lain tindakan.

“Proses rundingan ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi serta memelihara kedaulatan undang-undang negara.

“Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan,” katanya.

Beliau berkata, KKM sentiasa meneliti dan memantau rundingan antarabangsa bagi pindaan bersasar IHR 2005 dan penyediaan Perjanjian Pandemik.

Tambahnya, perkembangan terkini berkaitan kedua-dua rundingan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini