Tumpuan :
Nasional

Malaysia harap AS dukung prinsip perdagangan bebas, adil – PM

Foto Ihsan PMO

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Malaysia menaruh harapan supaya ekonomi anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) termasuk Amerika Syarikat (AS) akan terus mendukung prinsip perdagangan bebas dan adil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, umumnya rata-rata ucapan pemimpin ekonomi anggota APEC ketika forum ekonomi serantau itu di sini, menyatakan dukungan kepada prinsip tersebut.

“Kita harap semangat ini diterima oleh semua termasuk AS. Belum ada tanda-tanda awal bahawa semangat ini atau prinsip ini mahu dikorban atau dilanggar.

“Jadi kita harap di bawah pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, soal semangat perdagangan bebas dan adil itu diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi sulung ke Lima, Peru dan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31.

Anwar ditanya mengenai kesan terhadap jangkaan Trump untuk menaikkan tarif sebanyak 10 peratus atau 20 peratus ke atas semua barangan yang diimport ke AS dan tarif yang lebih tinggi sebanyak 60 peratus ke atas barangan buatan China.

AS adalah antara 21 ekonomi anggota APEC, selain Malaysia, Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan China.

Mengulas lanjut, menurut Anwar, Malaysia menjalankan aktiviti perdagangan dengan semua negara termasuk AS.

“Seperti mana sedia maklum pelaburan daripada AS juga tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini