comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-Iran gesa lebih banyak bantuan kemanusiaan ke Palestin 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi ketika Sidang Kemuncak Tergempar OIC Kelapan antara negara Liga Arab dan OIC. – FOTO: Anwar Ibrahim/ X

PETALING JAYA: Malaysia dan Iran sepakat menggesa lebih banyak bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Palestin.

Pada masa sama, kedua-dua negara juga mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memainkan peranan lebih besar, khususnya membabitkan isu kemanusiaan sejagat.

Perkara itu dicapai dalam pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi ketika Sidang Kemuncak Tergempar OIC Kelapan antara negara Liga Arab dan OIC di Riyadh, bagi membincangkan serangan serta kekejaman berterusan Zionis Israel terhadap Palestin, semalam.

“Dalam pertemuan penuh bermakna ini, kami sebulat suara bersetuju supaya kekejaman Israel terhadap Palestin perlu dihentikan segera.

“Kami juga mendukung segala usul yang dibawa OIC, termasuk paling penting proses gencatan senjata oleh Israel dilakukan serta-merta,” kata Anwar melalui aplikasi X, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mempertingkat hubungan dua hala, termasuk dalam bidang ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi serta meneroka peluang kerjasama baharu.

“Presiden Iran menyambut baik langkah Malaysia untuk mempertingkat hubungan dua hala serta menyatakan Malaysia dan Iran sebagai dua negara yang berpengaruh, perlu memainkan peranan besar dalam dunia Islam.

“Dalam pertemuan ini, kami turut memanjangkan jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara masing-masing,” katanya.

Perdana Menteri turut mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) antara kedua-dua negara bagi memperhalusi pelbagai bidang kerjasama.

Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Iran berjumlah RM3.68 bilion, meningkat sebanyak 40.2 peratus berbanding 2021.

Kelapa sawit adalah produk utama perdagangan Malaysia dan Iran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini