comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia jadi pilihan pelabur antarabangsa, sentimen lebih baik berbanding 2 tahun lalu – PM

 

Oleh: Siti Khadijah Jaafar 

KUALA LUMPUR: Minat ditunjukkan pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia kini jauh lebih baik berbanding satu atau dua tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, situasi itu juga menunjukkan perkembangan positif dalam membantu melonjakkan ekonomi negara.

“Saya optimis bahawa dengan minat pelabur-pelabur antarabangsa berkembang sekarang jauh lebih baik daripada catatan satu atau dua tahun yang lalu. Itu satu perkembangan yang sangat positif bagi kita kerana ia akan membantu melonjakkan ekonomi tetapi lonjakkan ekonomi itu harus beralih daripada pendekatan lama,” katanya.

Tegas Perdana Menteri, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menghentikan pembaziran rasuah dalam tadbir urus dan mengamalkan pendekatan yang lebih prihatin atau manusiawi.

“Ketiganya fokus pada isu dan bidang-bidang yang kita agak  ketinggalan termasuk keselamatan makanan, soal transformasi digital, dan bidang-bidang teknologi maklumat (IT) yang nampak kita belum tingkatkan sepatutnya,”.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan golongan M40.

Ia berikutan ada beberapa pihak yang menegur bahawa pendekatan kerajaan lebih tertumpu kepada golongan B40 sehingga mengabaikan kumpulan yang berpendapatan sederhana itu.

“Jadi beberapa langkah telah kita ambil tetapi andaian beri lebih kepada B40 itu tidak betul sebagai contoh tengok semua sekolah menengah sains atau MRSM (Maktab Rendah Sains Malaysia) termasuk Kolej Melayu dan lain-lain, manfaatnya kepada golongan paling miskin itu sangat kecil tidak sampai satu atau dua peratus. Sebab itu saya usulkan kepada Menteri Pendidikan baru baru ini menyatakan bahawa sama ada sekolah khas dicadangkan atau tidakpun mesti diperuntukan satu hingga lima peratus sahaja bagi yang benar-benar miskin. Kalau tidak kesenjangan itu akan terus berlaku,” katanya.

Menyentuh berkenaan meritokrasi dalam pendidikan pula, Perdana Menteri berkata sistem itu hanya berkepentingan kepada golongan elit dan yang mampu sahaja.

“Meritokrasi itu penting tetapi tidak boleh jadi satu-satunya kriteria dalam pengurusan negara dan tatakelola negara yang adil .Kalau nak bincang meritokrasi antara sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan sekolah di Kapit, Sarawak, itu maknanya menggagaskan satu formula yang tidak menekankan keadilan.

“Ada satu pihak cakap meritokrasi dan ada satu pihak cakap hanya kuota (bumiputera).Saya fikir kedua-duanya harus digabungkan, jadi mesti ada juga meritokrasi kalau tidak, kita tidak akan angkat yang terbaik dalam kalangan kita,” katanya.

Beliau juga menggesa kepimpinan peringkat kementerian, bank serta golongan elit untuk mendekati golongan bawahan yang mempunyai pemikiran serta keluhan berbeza dalam perkara sedemikian.

Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Kerjasama i-Tekad di ibu negara pagi tadi.

Loading...
Terkini