PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rang undang-undang (RUU) Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan, hari ini, berkata Malaysia mengutuk tindakan berkenaan sebagai serangan terang-terangan terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia merupakan penempelakan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.
“Malaysia menegaskan sekali lagi bahawa rejim Zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas negara Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis, di mana kehadiran UNRWA diiktiraf melalui perjanjian antara Palestin dengan PBB,” katanya.
UNRWA ditubuhkan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat kepada lebih 5.9 juta rakyat Palestin serta pelariannya di seluruh Asia Barat, termasuk menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutama ketika konflik masih berterusan.
Apa yang dikatakan RUU itu seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.
“Ini sebahagian daripada strateginya bagi menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti yang didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194, dan juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan serta genosid di Gaza.
“Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA. Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan tegas dan segera terhadap RUU itu demi melindungi UNRWA, dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” menurut Wisma Putra lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.