comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia, Kemboja setuju teroka laluan penerbangan baharu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) dalam sesi bergambar sebelum sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kemboja bersetuju untuk meneroka laluan penerbangan baharu sekali gus meningkatkan sektor pelancongan di kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata pada masa ini terdapat 47 penerbangan antara Kuala Lumpur dan Kemboja setiap minggu.

“Atas cadangan Perdana Menteri Kemboja, kami telah bersetuju untuk melihat laluan baharu untuk meluaskan perkara ini (perkhidmatan udara antara Malaysia dan Kemboja) memandangkan terdapat potensi besar di kedua-dua negara,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sempena lawatan rasmi sehari rakan sejawatnya itu ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Ini adalah lawatan sulung Hun Manet ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada Ogos tahun lalu.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengadakan mesyuarat dua hala selama kira-kira sejam membincangkan beberapa perkara tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala dan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Hun Manet berkata persetujuan menambah penerbangan terus kedua-dua negara itu mengiktiraf kepentingan meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua negara.

“Kami membincangkan kemungkinan kerjasama lebih lanjut dari segi pelancongan dan memudahkan tambahan penerbangan terus. Ia seperti yang disebut oleh Perdana Menteri (Anwar) khususnya untuk lebih banyak destinasi antara kedua-dua negara bagi memudahkan lawatan serta pelawat antara dua negara,” kata Hun Manet.

Loading...
Terkini