Tumpuan :
Nasional

Malaysia kesal resolusi gencatan senjata di Gaza gagal lagi

Wisma Putra .- Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi menyatakan kekesalan berhubung kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai satu resolusi mengenakan gencatan senjata dan memudahcara penyaluran segera perkhidmatan asas serta bantuan kemanusiaan di Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, resolusi berkenaan mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB namun digagalkan melalui penggunaan kuasa veto, semalam.

Katanya, penggunaan kuasa veto berkenaan sekali gus mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza.

“Sekaligus, menjejaskan usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis ini.

“Malaysia menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza, dan melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, mempertahankan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia kekal bersolidariti dengan Palestin, dan mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu Palestin,” katanya.

Semalam media melaporkan, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Semenanjung Gaza.

Resolusi itu turut menggesa pencegahan kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Draf resolusi yang dikemukakan oleh sembilan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan itu – Algeria, Ecuador, Guyana, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia, dan Switzerland – menerima 14 undi.

Resolusi berkenaan menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat, dan kekal yang perlu dihormati oleh semua pihak, sambil mengulangi desakan untuk pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan, serta menggesa Majlis Keselamatan melaksana tanggungjawabnya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Resolusi itu turut menekankan krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza dan meminta akses segera oleh penduduk awam di Semenanjung Gaza kepada perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang penting untuk kelangsungan hidup mereka.

Draf Resolusi itu menolak sebarang usaha untuk menyebabkan penduduk Palestin kebuluran serta menyeru penyediaan bantuan kemanusiaan sepenuhnya, dengan cepat, selamat, dan tanpa halangan, secara besar-besaran ke Gaza dan di seluruh kawasan itu.

Selain itu, ia menggesa semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa, khususnya berkaitan perlindungan orang awam dan infrastruktur awam, serta menuntut pelaksanaan Resolusi 2735 Majlis Keselamatan, yang merangkumi peruntukan mengenai tawanan, tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Resolusi itu juga meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melaporkan pelaksanaannya dan menjalankan penilaian keperluan menyeluruh untuk Gaza dalam tempoh 90 hari.

Bagaimanapun, AS menghalang pelaksanaan langkah-langkah berkenaan.

AS sebelum ini sudah tiga kali menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan yang menyeru gencatan senjata segera di Gaza pada Oktober 2023, Disember 2023, dan Februari, selain berkecuali dalam beberapa undian resolusi lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini