Tumpuan :
Nasional

Malaysia komited giatkan semula mekanisme ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh: Haliza Hashim

KUALA LUMPUR: Malaysia bertekad menggiatkan semula mekanisme utama seperti ASEAN Plus Three dan Sidang Kemuncak Asia Timur menerusi kepengerusian ASEAN tahun ini, bagi memupuk pertumbuhan bersama serta memperkukuh kerjasama serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif itu adalah pendekatan strategik untuk mengekalkan keterbukaan dalam perdagangan dan pembangunan, selaras dengan prinsip saling menghormati dan menjaga kepentingan bersama.

“Sidang Kemuncak Asia Timur adalah satu-satunya forum serantau yang memfokuskan isu strategik dan keselamatan, dipimpin oleh pemimpin utama, serta menjadi platform neutral di mana kuasa-kuasa besar bertemu.

“Daripada terperangkap dengan perselisihan kuasa besar, lebih baik kita bekerjasama dengan negara anggota dan rakan dialog yang sehaluan untuk merealisasikan aspirasi forum ini,” katanya ketika menyampaikan syarahan di London School of Economics (LSE) sempena lawatan kerja lima hari ke United Kingdom.

FOTO: Ihsan PMO

Sementara itu, Anwar turut menegaskan Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan terbuka dan pragmatik dalam hubungannya dengan Amerika Syarikat dan China sambil menepis tanggapan bahawa Malaysia cenderung kepada China, dengan menjelaskan bahawa Amerika Syarikat masih menjadi sumber pelaburan langsung asing terbesar.

“Walaupun terdapat persepsi tertentu, data menunjukkan pelaburan Amerika Syarikat secara kumulatif adalah signifikan, yang terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut merasmikan Auditorium Malaysia di LSE.

FOTO: Ihsan PMO

Auditorium berkapasiti 460 tempat duduk itu terletak di bangunan utama LSE dan siap pada Jun 2019 hasil sumbangan Persatuan Alumni Malaysia.

Inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan United Kingdom, tetapi juga simbol komitmen Malaysia dalam membina rangkaian global untuk faedah bersama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini