comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia kutuk pencerobohan ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa

Penduduk Palestin melihat kesan darah pada permukaan jalan susulan serangan Israel di Tulkarm di kawasan Wilayah Palestin Yang Diduduki pada 24 September lalu. – Foto: Reuters

PUTRAJAYA: Malaysia mengutuk pencerobohan oleh pendatang ekstremis Israel di Masjid Al-Aqsa pada 24 dan 25 September lalu.

Kementerian Luar melalui satu kenyataan berkata, pencerobohan dirancang itu adalah satu lagi tindakan yang disengajakan oleh rejim Israel dan jelas bertujuan untuk mencabar status quo undang-undang dan politik Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan pencerobohan yang berterusan yang akan memburukkan lagi keadaan yang sudah parah di Wilayah Palestin Yang Diduduki (OPT).

“Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mesti melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Piagam dan mengecam rejim, selain menghentikan serta-merta semua tindakan provokasi dan pencerobohan untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia terus berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – BERNAMA

Loading...
Terkini