comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia kutuk serangan Zionis terhadap Rafah ketika Hamas setuju gencatan senjata


KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi bersuara dengan tegas bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel di Rafah, Gaza, kelmarin selepas pejuang Hamas menerima cadangan gencatan senjata.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Kementerian Luar, serangan yang mengorbankan 19 mangsa itu jelas menunjukkan kedegilan Israel dan keengganan rejim Zionis menuju proses keamanan sekali gus perlu ditolak masyarakat antarabangsa.

“Serangan itu yang dilancarkan hanya beberapa jam selepas Hamas bersetuju terhadap gencatan senjata melalui rundingan damai diatur Mesir dan Qatar, hanya menunjukkan sikap keras kepala Israel.

“Hakikatnya, rejim Israel bertekad untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai dan perang bagi memusnahkan rakyat Palestin.

“Atas dasar itu, Israel selayaknya mendapat kecaman dan kutukan daripada masyarakat antarabangsa,” kata kenyataan itu hari ini.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan sekurang-kurangnya 19 terbunuh di Rafah, iaitu lokasi menempatkan lebih daripada 1.5 juta orang Palestin yang berlindung di situ selepas diserang Israel, kelmarin.

Kepulan asap susulan serangan darat dan udara tentera rejim Zionis di Rafah, Gaza.-FOTO: Reuters

Pada masa sama, menurut Wisma Putra, masyarakat antarabangsa perlu bersuara lebih lantang untuk memastikan rejim Israel menghentikan tindakannya yang secara terang-terangan melakukan jenayah.

Katanya, rejim Israel juga perlu diheret ke muka pengadilan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia.

“Ini kerana serangan berterusan terhadap orang awam oleh Tentera Rejim Israel khususnya di Rafah, adalah menjijikkan dan keji terutamanya terhadap kanak-kanak dan wanita.

“Paling malang, masyarakat berlindung di kem yang padat dengan penduduk iaitu benteng terakhir mereka turut terdedah dengan serangan itu,” katanya.

Bulan lalu, Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya serangan kejam tentera Israel di Rafah yang secara terang-terangan menyerang dan mencederakan beberapa sukarelawan dan petugas dalam konvoi penghantaran bantuan kemanusiaan.

Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas menyatakan sekurang-kurangnya 33,360 terbunuh di wilayah itu sepanjang lebih enam bulan perang antara Israel dan Palestin.

Dalam masa sana 75,993 dilaporkan cedera di Semenanjung Gaza sejak perang bermula apabila pejuang Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini