Oleh: Izzatie Rizan
PUTRAJAYA : Bagi mengekang Islamophobia, kerajaan melancarkan kempen Infak dan Wakaf 1 Juta Al-Quran hari ini yang akan diedarkan ke seluruh dunia.
Kempen yang berjalan selama dua tahun itu, dimulakan dengan fasa pertama yang menyasarkan 500,000 naskah Al-Quran dicetak dalam pelbagai bahasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pendekatan itu sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran supaya kandungannya dapat dihayati semua pihak tanpa mengira latar belakang fahaman dan agama.
Beliau berkata melalui kempen Infaq dan Wakaf ini, empat trak kontena akan membawa misi berkenaan ke lokasi terpilih.
“Trak yang berpelekat kempen Infak dan Wakaf 1 Juta Al-Quran ini akan dipandu ke 4 stesen mengikut zon iaitu Pulau Pinang (Zon Utara), Negeri Sembilan/Melaka (Zon Selatan) dan Pahang (Zon Timur) serta berakhir di Selangor (Zon Tengah).
Ini bertujuan bagi menguar-uarkan kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai usaha yang sedang dilaksanakan ini. Orang ramai diberi peluang untuk turut bersama-sama menyumbang dengan cara berwakaf tunai,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen berkenaan di Kompleks Nasyrul Quran di sini siang tadi.
Jelasnya, kempen dengan kerjasama Yayasan Restu selaku penerbit dan percetakan Al-Quran itu akan diterjemahkan dalam bahasa Sweden, Inggeris, Sepanyol Latin, Mandarin, Khmer, Perancis, Tamil, Tagalog dan Hindi.
Pengagihan katanya, mensasarkan negara-negara tertentu dengan kerjasama pelbagai pihak seperti kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan.
“Anggaran kos bagi setiap Al-Quran yang akan diterbitkan adalah sebanyak RM30 senaskhah. Manakala kos penghantaran dan pengedaran adalah sebanyak RM8 senaskhah,” tambahnya.
Pengedaran Al-Quran fasa pertama yang telah diinfaq orang ramai ini, dijangka akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim 16 September ini.