comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka dipilih tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024

 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.- Foto fail NSTP

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

PUTRAJAYA: “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024, Fahmi Fadzil berkata tema ini dipilih bagi menzahirkan kebebasan rakyat Malaysia daripada sebarang elemen negatif.

“Tema ini turut menginterpretasikan semangat patriotik meliputi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.”

“Jiwa Merdeka merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati dirinya,” ujar Fahmi ketika berucap di Majlis Pengumuman Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di sini hari ini.

Fahmi memaklumkan, jemaah menteri bersetuju bahawa logo bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dikekalkan seperti tahun sebelumnya.

Tambahnya, majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 akan dilancarkan pada 13 Julai ini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Pada masa sama ia sebagai tanda bermulanya kiraan detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya.

Seterusnya, momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan hingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 September di Sabah.

Program sampingan yang mengisi kalendar sambutan antaranya melibatkan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang merupakan aktiviti konvoi kenderaan bagi membawa mesej kenegaraan dengan simbolik penyerahan Jalur Gemilang di setiap lokasi perhentian konvoi.

Fahmi berkata, Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang juga akan terus disemarakkan bagi menterjemahkan semangat patriotik di dalam diri setiap individu di Malaysia.

“Hiasilah rumah dengan bendera yang menjadi identiti kita di seluruh pelosok dunia.”

“Kibarkanlah Jalur Gemilang yang cukup sifatnya, tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh kerana bendera ialah gambaran diri kita sebagai warganegarayang bertanggungjawab,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini