KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menjadi pemain industri terbesar minyak kelapa sawit di Asia Tengah, khususnya di Pakistan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata beliau menerima banyak pandangan dan maklum balas daripada pemain industri negara itu yang mahu melihat Malaysia-Pakistan bekerjasama lebih erat pada masa hadapan.
Katanya, pemain industri mahu Malaysia menjadi pembekal kepada bukan sahaja di Pakistan malah di Asia Tengah, dengan negara itu menjadi hub untuk eksport produk kelapa sawit di rantau itu.
“Saya baru sahaja habis berdialog dengan pemain industri tulen di Pakistan yang bertanggungjawab dalam pengedaran tiga juta tan metrik minyak sawit dan banyak daripadanya mahu Malaysia-Pakistan bekerjasama lebih erat dan menjadi pengedar utama produk minyak sawit ke negara ini.
“Tiga syarikat Malaysia iaitu FGV Holdings Bhd, IOI Corporation Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) yang berjaya mengadakan kerjasama di negara ini untuk tempoh 10 tahun.
“Mereka (pemain industri) mahu Malaysia untuk terus ke sini membawa pelabur dan pada akan datang untuk kita mengeluarkan produk minyak sawit dan memberi keutamaan kepada Pakistan untuk mengedarkan kelapa sawit di Pakistan dan Asia Tengah,” katanya.
Johari ketika ini berada di Pakistan mengetuai delegasi Malaysia dalam perbincangan meja bulat bersama pemain industri utama industri minyak dan lemak Pakistan.
Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Mohammad Azhar Mazlan, pegawai kanan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta wakil industri daripada FGV, KLK dan IOI.
Dalam perkembangan itu, beliau turut berkongsi, pada sedekad lalu, pengedaran minyak sawit negara di Pakistan mencecah sehingga 95 peratus berbanding Indonesia ketika itu, hanya lima peratus.
Sementara itu, dalam Ucaptama Pakistan Edible Oil Conference ke-7 di Pakistan, Johari berkata, kerjasama Malaysia-Pakistan dalam sektor minyak sawit digambarkan melalui perkongsian yang berjaya, membabitkan syarikat-syarikat kedua negara.
Katanya, projek kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelabuhan Qasim memainkan peranan penting dalam memodenkan industri minyak masak Pakistan.
“Ia bermula dengan terminal tangki penyimpanan 16,000 tan metrik dan berkembang menjadi sistem yang komprehensif, merangkumi kilang penapisan moden, kilang pengekstrakan pelarut, dan terminal kargo cecair yang kini mengendalikan lebih daripada 90 peratus minyak sawit yang memasuki Pakistan.
“Malah kapasiti penyimpanan keseluruhan berkembang melebihi 200,000 tan metrik,” katanya.
Johari berkata, kehadiran Malaysia dalam tempoh jangka panjang dalam industri minyak masak di Pakistan memberikan platform yang hebat untuk meneroka peluang baharu dan memperkukuh matlamat bersama.
“Saya amat berharap untuk melihat Pakistan kembali menyertai ‘Million Ton Club’ untuk import minyak sawit Malaysia, yang mencerminkan potensi kerjasama ini. Malah berharap dalam pertambahan kerjasama bagi produk hiliran sawit,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.