Tumpuan :
Nasional

Malaysia mahu manfaatkan AI untuk capai pertumbuhan inklusif, tangani jurang digital

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi antara panel Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam sesi bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

LIMA: Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai pertumbuhan inklusif, menangani jurang digital dan isu etika.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, teknologi AI adalah pemangkin utama kepada transformasi digital untuk memastikan ekonomi yang sedang berkembang ini kekal berdaya saing, saksama dan mampan.

“Jika anda ingin memastikan ekonomi sedang pesat membangun ini berjaya, kekal berdaya saing dan mampan, maka ia perlu dilakukan melalui lonjakan yang berganda (quantum leap) dan AI sudah tentu adalah jawapannya dalam aspek transformasi digital.

“Bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan yang perlu ditangani. Pertama, jurang digital. Kita tidak boleh bercakap mengenai ekonomi MADANI yang menekankan aspek kepercayaan, kemanusiaan, keadilan dan pendemokrasian akses jika kita tidak mengambil kira bahawa semua langkah dan peluang diberikan kepada masyarakat di bandar serta luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi antara panel Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam sesi bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’, di sini.

Ahli panel lain ialah Naib Presiden Data dan AI Microsoft, Zia Mansoor; CEO Vobile, Yangbin Wang dan Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google, Karan Bhatia dengan Ahli Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Kanada, Jan De Silva bertindak sebagai moderator.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi antara panel Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam sesi bertajuk ‘Peluang dan Cabaran dalam Revolusi AI’

Mengakui akan ada gangguan digital dengan AI, namun Anwar menegaskan, tumpuan sepenuhnya diberikan kepada pendidikan dan latihan bagi mewujudkan syarat yang tepat untuk kejayaan di masa depan.

Justeru, beliau menekankan keperluan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran profesional muda dalam bidang AI bagi menangani keperluan industri serta mempercepatkan kemajuan dan pendigitalan.

“Daripada pengalaman kami dan kini kami dapat menarik pelaburan besar daripada pemain industri terkemuka, kami menyedari bahawa kami perlu bergerak dengan pantas dengan (menilai polisi) tenaga, air dan juga pemahaman, latihan asas dan pendedahan (mengenai AI) serta mengubah kurikulum di universiti, kolej dan sekolah.

“Jadi ia adalah pendekatan pelbagai serampang. Dan perubahan ini lebih mudah untuk diucapkan daripada dilakukan,” katanya.

Terdahulu, De Silva berkata, perjalanan transformasi digital Malaysia benar-benar mengagumkan, menarik perhatian dan pelaburan global daripada syarikat gergasi teknologi terkemuka dengan akses pendigitalan melebihi 97 peratus daripada penduduk.

Ini termasuk kejayaan Malaysia meraih pelaburan hampir AS$17 bilion daripada Amazon Web Services (AWS), Google, Microsoft dan Oracle.

“Ekonomi digital anda (Malaysia) dalam kedudukan baik bagi pertumbuhan yang unggul. Tambahan pula, keyakinan terhadap potensi Malaysia sebagai hab infrastruktur dan teknologi Al serantau adalah sesuatu yang kita semua perkatakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini