comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia Masih Runding Dengan Arab Saudi Agar Tiada Diskriminasi Vaksin – KJ

Malaysia masih berunding dengan kerajaan Arab Saudi supaya tidak mengenakan diskriminasi vaksin bagi individu yang mahu ke negara itu bagi urusan mengerjakan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak ada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin COVID-19 (yang digunakan Malaysia) adalah berkesan dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin COVID-19 iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

Khairy dalam pada itu berkata satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.– BERNAMA

Loading...
Terkini