comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia Mempunyai 32.73 Juta Penduduk

Menurut laporan Perangkaan Demografi penduduk Malaysia kini dianggarkan 32.73 juta orang pada suku keempat 2020.

Jumlah berkenaan meningkat 0.4 peratus daripada 32.59 juta pada tempoh sama 2019.

Mengulas mengenai laporan itu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah penduduk itu merangkumi 29.85 juta orang (91.2 peratus) warganegara dan 2.87 juta orang (8.8%) bukan warganegara.

“Jumlah penduduk lelaki melebihi jumlah penduduk perempuan iaitu masing-masing 16.83 juta dan 15.90 juta” katanya.

Tambahnya penduduk berumur 0 hingga 14 tahun pada suku tahun keempat 2020 menurun daripada 7.63 juta pada suku tahun keempat 2019 kepada 7.57 juta, manakala penduduk berumur 65 tahun dan dan ke atas meningkat daripada 2.24 juta kepada 2.34 juta bagi tempoh yang sama.

“Sebanyak 468,975 kelahiran hidup direkodkan pada 2020 dan daripada jumlah itu, sebanyak 121,251 direkodkan pada suku tahun keempat 2020, iaitu menurun sebanyak 2.5 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 dengan 124,384 kelahiran”, katanya dalam satu kenyataan media.

Menurutnya lagi keseluruhan 174,313 kematian direkodkan pada 2020 dengan 44,390 kematian direkodkan bagi suku tahun keempat 2020, menurun sebanyak 0.4 peratus berbanding suku tahun keempat 2019 iaitu 44,566 kematian. – BERNAMA

Loading...
Terkini