comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia mengalukan permohonan Afrika Selatan mulakan prosiding terhadap Israel ke ICJ

PETALING JAYA: Malaysia mengalu-alukan permohonan Afrika Selatan memulakan prosiding terhadap Israel untuk dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarbangsa (ICJ) berhubung keganasan yang dilakukan rejim zionis itu terhadap rakyat Palestin.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media Wisma Putra pada Selasa.

“Malaysia mengalu-alukan permohonan oleh Afrika Selatan yang memulakan prosiding terhadap Israel di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung pencabulan oleh Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid dalam hubungan dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

“Permohonan oleh Afrika Selatan juga termasuk permintaan supaya Mahkamah menyatakan
langkah sementara atau jangka pendek yang mengarahkan Israel menghentikan kempen ketenteraannya di Gaza untuk melindungi daripada bahaya selanjutnya terhadap hak rakyat Palestin di bawah Konvensyen Genosid, dan untuk memastikan pematuhan Israel terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen,” jelas Wisma Putra.

Jelas Wisma Putra lagi, tindakan undang-undang terhadap Israel adalah langkah yang tepat pada masanya atas kekejaman yang dilakukan di gaza dan Wilayah Palestin yang diduduki.

Sebagai rakan negara dalam Konvensyen Genosid, Malaysia menyeru Israel untuk memenuhi kewajipannya dibawah Undang-undang Antarbangsa dan segera menamatkan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Tegas Wisma Putra, Malaysia mengulangi pendiriannya untuk penyelesaian yang tuntas dengan memberikan rakyat Palestin Negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat.

Ia perlu berasaskan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Loading...
Terkini