comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia Mulakan Strategi Global Lawan Waris Kesultanan Sulu

 

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah memulakan strategi global yang proaktif, bagi menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, menegaskan Malaysia akan mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara serta tidak akan bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem mahkamah demi kepentingan peribadi.

Beliau berkata, ada laporan bahawa pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (Final Award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia termasuk rangkaian aset milik Petronas.

“Aset Petronas bukanlah milik kerajaan (Malaysia) dan permohonan untuk mengiktiraf serta menguatkuasa aset berkenaan dilihat sebagai suatu pencabulan proses mahkamah.

“Oleh itu, percubaan terkini oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk merampas aset didakwa milik kerajaan di Belanda adalah tindakan mengambil kesempatan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan Suruhanjaya Undang-undang Perdagangan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bangsa (UNCITRAL),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk menangani tindakan pihak terbabit, kerajaan sudah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara.

“Dalam masa sama, kerajaan melaksanakan tindakan perundangan yang sama di Luxembourg dan akan mengambil tindakan serupa di Belanda bagi mengenepi dan menghalang sebarang percubaan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah yang dikeluarkan mahkamah,” katanya.

Wan Junaidi menegaskan, Kerajaan Malaysia berpendirian perintah yang dikeluarkan mahkamah di Paris pada Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang.

Katanya, perintah yang diperoleh sekiranya dikuat kuasakan boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi yang serius kepada kestabilan negara lain.

“Perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah dan tidak mengikut norma atas beberapa sebab tertentu.

“Sebagai contoh, tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada negara Sepanyol ke Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan penimbang tara dan prosiding susulan timbang tara,” katanya.

Wan Junaidi berkata, pada masa sama Malaysia juga akan meneruskan prosiding mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepikan dan membatalkan perintah berkaitan.

Katanya, kerajaan yakin bahawa penyelesaian prosiding mahkamah berkenaan akan menyebelahi Malaysia. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini