comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia negara ke-5 tertinggi dunia cemari laut dengan plastik

Lautan sampah plastik di pesisir pantai dekat Jalan Pantai menjejaskan imej bandar Lahad Datu. – FOTO: Lahad Datu Info / Facebook

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan tenaga dari United Kingdom (UK), Utility Bidder mendedahkan, Malaysia mencemari lautan dengan 2.29 kilogram plastik per kapita setiap tahun, sekali gus meletakkan negara ini kelima tertinggi di dunia yang terbabit menyebabkan pencemaran laut.

Kajian pencemaran plastik dilakukan Utility Bidder ini bagi mengenal pasti negara yang paling banyak mengeksport sisa, negara yang mempunyai kebarangkalian paling tinggi mengeluarkan sisa plastik dan negara yang paling banyak melakukan salah urus sisa.

Kajian itu turut mendedahkan Filipina menduduki tempat teratas, dengan pencemaran 3.3 kilogram sisa plastik ke lautan setiap orang setiap tahun, diikuti Suriname dengan pembuangan 2.89 kilogram sisa plastik ke lautan setiap orang setiap tahun.

Pengarah Urusan Utility Bidder, James Longley berkata, jumlah 2.29 kilogram sisa plastik per kapita setiap tahun dari Malaysia yang mencemari lautan itu, bersamaan dengan 8.9 peratus sisa plastik yang disalah urus di negara ini, iaitu 25.49 kilogram sisa plastik per kapita setiap tahun.

Beliau berkata, selain tersenarai sebagai negara kelima tertinggi mencemari lautan, Malaysia juga negara ke-10 paling banyak melakukan salah urus sisa plastik per kapita.

Katanya, sisa plastik yang tidak terurus adalah sisa yang dibuang atau dibuang di tapak pelupusan sampah tidak terkawal yang kemudian boleh menyebabkan ia mencemari lautan.

Susulan itu, Longley berkata, terdapat banyak langkah mudah boleh diambil untuk mengurangkan sisa plastik, antaranya melalui penggunaan botol air dan cawan yang boleh dipakai semula.

“Sekitar 1,500 botol plastik dibuang setiap saat, manakala hanya satu daripada 400 cawan kopi dikitar semula dengan cekap. Sebenarnya, menggunakan cawan boleh guna semula mampu menjimatkan wang.

“Pembelian plastik secara berlebihan boleh membahayakan alam sekitar daripada pelepasan dan sisa daripada proses pengeluaran.

“Beg plastik pula mengakibatkan kira-kira 250 haiwan marin terbunuh setiap hari akibat lemas. Jadi, menggunakan beg guna semula adalah cara yang ideal untuk mengurangkan sisa berlebihan ini dan cara ini juga boleh menjimatkan wang dalam jangka panjang kerana tidak perlu membayar caj beg plastik ketika membeli-belah,” katanya.

Bagi memastikan amalan mengurangkan penggunaan plastik, Longley turut menasihati pengguna meletakkan beg guna semula berdekatan pintu rumah atau dalam kereta bagi memastikan ia dapat digunakan setiap kali mereka keluar membeli-belah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini