comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia-New Zealand adakan mesyuarat tahunan Menteri Luar 

FOTO: Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan New Zealand hari ini mengadakan Mesyuarat Tahunan Menteri Luar kedua-dua negara di sini yang memberi tumpuan kepada memperhalusi lagi kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu di bawah kerangka Perkongsian Strategik.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menerusi catatan di Facebook hari ini berkata, mesyuarat yang dipengerusikan beliau sendiri itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar New Zealand, Winston Peters yang kini dalam  lawatan kerja empat hari ke Malaysia.

“Selain membincangkan isu-isu dan kerjasama dua hala, Malaysia dan New Zealand telah bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Turut menjadi perhatian adalah usaha pengukuhan bidang perdagangan, hubungan diplomatik dan kerjasama keselamatan kedua-dua negara,” katanya.

FOTO: Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

Media sebelum ini melaporkan Peters tiba di sini pada Khamis.

Malaysia dan New Zealand menjalinkan hubungan diplomatik pada 25 September 1957 dan sejak itu hubungan dua hala kedua-dua negara kekal kukuh dan stabil.

Malaysia secara konsisten menerima peningkatan jumlah pelancong dari New Zealand setiap tahun dengan 18,238 warga negara itu melawat Malaysia pada tahun 2022. Selain itu, lebih 17,000 rakyat Malaysia menetap di New Zealand.

Di rantau Pasifik, Malaysia adalah rakan dagang kedua terbesar New Zealand dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.42 bilion) setakat Jun 2023.

Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang dianggotai oleh Malaysia dan New Zealand bersama-sama Australia, United Kingdom dan Singapura merupakan satu daripada peraturan pertahanan paling lama beroperasi di dunia.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini