Tumpuan :
Nasional

Malaysia nyata komitmen bantu aktiviti masjid tunggal di Rio De Janeiro

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sesi diskusi santai bersama komuniti Islam di Rio De Janeiro.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja ke Brazil dengan mengadakan sesi diskusi santai bersama komuniti Islam di sini.

Dalam pertemuan itu, Anwar menyatakan komitmen Malaysia untuk menggerakkan usaha membantu aktiviti masjid tunggal di bandar tersebut iaitu Masjid Luz.

“Alhamdulillah, program di Brazil dimulakan dengan sesi diskusi santai bersama komuniti Islam di sini.

“Dalam pertemuan ini, kami dapat berbincang dan bertukar pandangan soal pembangunan ummah di negara ini,” katanya selepas mengadakan sesi diskusi selama kira-kira 30 minit.

Pertemuan itu diketuai oleh Presiden Masjid Luz, Mohamed Zeinhom Mohamed El Fateh Mohamed Abdien; Imam Masjid Luz, Sancho Jorge Mulungo @ Adam dan pengurusan masjid berkenaan.

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Mengulas lanjut, menurut Anwar, Malaysia komited untuk membantu terkait urusan halal, selain usaha memartabatkan Islam menerusi pendidikan dan dakwah kepada komuniti Islam di Brazil.

Pada sesi sama, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di sini termasuk menyerahkan senaskah Al-Quran cetakan khas dan 10 naskah kitab suci terbabit dalam terjemahan bahasa Portugis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini