comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia pertaruh ‘Tiger Stripes’ di Oscars ke-96

 

Tiger Stripes, filem arahan pertama Amanda Nell Eu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Filem cereka tempatan berjudul ‘Tiger Stripes’ dipilih secara rasmi mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-96 (Oscars) pada Mac 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan filem berkenaan telah dinilai dan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“(Jawatankuasa itu) terdiri daripada penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman melalui proses penilaian serta pematuhan kepada peraturan penyertaan yang ditetapkan pihak penganjur Oscars,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

‘Tiger Stripes’ adalah filem terbitan syarikat G Grrrl Pictures Sdn Bhd dan arahan pertama Amanda Nell Eu.

Filem tersebut dibintangi Zafreen Zairizal, Piqa, Deena Ezral, Jun Lojong, Khairunazwan Rodzy, Fatimah Abu Bakar dan Shaheizy Sam.

Di peringkat antarabangsa, filem berkenaan memenangi Anugerah Grand Prix di Semaine de la Critique ke-62 sempena Festival Filem Cannes ke-76 di Perancis.

Selain itu, filem terbabit turut menerima Anugerah Khas Penghargaan Juri (Special Jury Mention) bagi kategori Filem Cereka Pertama di Fantasia International Film Festival ke-27 di Kanada, masing-masing pada Mei dan Julai lalu.

Mengulas lanjut, Fahmi berharap supaya usaha itu akan meningkatkan potensi penjenamaan serta pengantarabangsaan produk filem dan bakat kreatif negara yang berkualiti tinggi.

“Semoga perkembangan ini menjadi penyuntik semangat kepada semua penggiat filem untuk terus mendukung misi kerajaan dalam usaha memperkasakan industri perfileman negara di peringkat global,” katanya.

Loading...
Terkini