comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia rangkul 6 pingat emas dalam Kejohanan WCOPA di California

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Pasukan Malaysia terus mengharumkan nama negara di Kejohanan Seni Persembahan Dunia – World Championships of Performing Arts (WCOPA), apabila memenangi enam pingat emas.

Peserta yang terdiri daripada 11 karyawan tempatan itu turut merangkul 20 Perak dan 10 Gangsa dalam kejohanan dunia ke-26 yang berlangsung di Anaheim, California baru-baru ini.

Pengelola pasukan, Romli Bidin dalam kenyataan hari ini berkata, kejohanan yang dianggap sebagai ‘Olimpik’ seni persembahan ini melibatkan penyertaan 40 negara dalam 6 kategori.

“Pasukan Malaysia telah menyertai 4 kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Vokal, Tarian, Muzik dan Peragaan.

“Pingat Emas telah dimenangi Chloe Phang bagi Instrumental Terbuka, QuahXin En dalam Vokal Rock, Imran Azim bagi Instrumental Klasik, Goay Lian Lian dalam Tarian Hip Hop & juga Tarian Open manakala Datuk Wahadaniah Abd Wahab dalam Modeling Photoshoot” katanya.

Menurutnya lagi, lima peserta juga telah menjadi Juara Bahagian untuk anugerah ‘Champion of the World’.

“Secara keseluruhan Pasukan Malaysia telah menunjukkan prestasi yang amat membanggakan dengan mencapai 63 Peratus kejayaan daripada jumlah penyertaan keseluruhan.

“Apa yang membanggakan apabila beberapa peserta negara telah mendapat temu-janji dengan beberapa pengarah, penerbit dan ejen syarikat hiburan besar di Hollywood. Ia sekaligus membuka peluang untuk mereka belajar bersama-sama karyawan terkenal dunia,”katanya.

Loading...
Terkini