comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Malaysia salur sumbangan lebih AS$2 juta untuk Turkiye, Syria

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad SudinPUTRAJAYA: Malaysia akan menyalurkan dana sebanyak lebih AS$2 juta kepada kerajaan Turkiye dan Syria susulan tragedi gempa bumi yang melanda kedua-dua negara berkenaan pada Isnin lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu membabitkan masing-masing AS$1 juta (kira-kira RM4.3 juta) dari Kerajaan Persekutuan dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

FOTO : REUTERS

“Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk menyediakan 1 juta USD dan ini akan bersama dengan sumbangan Sultan Johor yang berkenan menyalurkan 1 juta USD yang akan diselaraskan oleh kerajaan.

“Saya difahamkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan menambah sekurang-kurangnya untuk permulaan sebanyak RM1 juta. Kita harap bantuan mana-mana rakyat yang bersimpati akan kita salurkan sebahagian ke Turkiye dan sebahagian ke Syria,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Beliau berkata, sumbangan ke Syria akan disalurkan melalui Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa berikutan masalah sekatan dan masalah lain.

Katanya, Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik telah menghubungi dan akan memastikan penyaluran dana serta pembelian peralatan dan perubatan disalurkan menerusi organisasi berkenaan.

Pada awal pagi Isnin, gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda daerah Pazarcik di wilayah Kahrananmaras dan menggegarkan beberapa wilayah lain termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adiyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay serta Kilis.

Menurut laporan media, setakat semalam, tragedi itu telah meragut lebih 5,000 nyawa di Turkiye dan Syria.

Loading...
Terkini