comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sasar 100,000 tan metrik daging tempatan menjelang 2030 

FOTO: NSTP

BACHOK: Kerajaan mensasarkan sebanyak 100,000 tan metrik pengeluaran daging tempatan menjelang 2030.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berharap sasaran itu dapat dicapai 100 peratus dalam masa terdekat atau sekurang-kurangnya 50 peratus.

“Negara memerlukan 200,000 tan metrik daging lembu setahun bagi keperluan rakyat dan masih perlu mengimport 80 peratus daging bagi memenuhi permintaan rakyat.

“Bekalan daging ketika ini sekitar kira-kira 20 peratus bersamaan 47,000 tan metrik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi dan merasmikan HL Agro Farm KB Sdn Bhd di Kampung Sri Kemunting, Gunong, di sini hari ini.

Datuk Seri Mohamad berkata, bagi mengurangkan import serta kebergantungan daging dari luar negara pada masa akan datang, kerajaan akan membantu meningkatkan jumlah ternakan dan penghasilan.

“Kerjasama dengan kerajaan negeri penting kerana tanah milik kerajaan negeri seperti tanah ladang di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor masih banyak boleh diusahakan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamad berkata, kerajaan turut menyalurkan peruntukan kepada penternak yang baharu memulakan usaha dengan memberikan bantuan kira-kira RM20,000 seorang.

Sementara itu, beliau berkata kementerian memberi jaminan bekalan daging lembu untuk korban pada Aidiladha nanti mencukupi termasuk memberi jaminan tidak berlaku peningkatan harga daging yang ketara.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini