comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sasar status hab AI global susulan pelaburan RM29.2 bilion AWS

FOTO: FB ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam memajukan transformasi digital dan ekonomi digital negara sebagai komponen penting dalam memacu kerumitan ekonomi perindustrian Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran terbaharu di platform media sosialnya menegaskan, adalah menjadi objektif kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kecerdasan buatan (AI) generatif terkemuka, baik di peringkat serantau serta global dengan mengukuhkan infrastruktur digital menerusi kerjasama dengan pelabur serta rakan niaga.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menyifatkan Amazon Web Services (AWS) iaitu anak syarikat Amazon.com Inc, berperanan sebagai rakan yang teguh dalam perjalanan transformasi digital negara.

“Pelancaran AWS Wilayah Asia Pasifik serta pelan pelaburan 15 tahunnya, jelas memaparkan komitmen jangka panjang AWS yang tidak berbelah bahagi terhadap Malaysia,” kata beliau.

Anwar berkata pelaburan AWS bernilai RM29.2 bilion dalam projek Wilayah AWS (Malaysia) diunjur menyumbang sebanyak RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tempoh 2024 hingga 2038.

Impak pelaburan di Malaysia itu juga dijangka menjana lebih 3,500 pekerjaan secara langsung daripada pusat data baharu, kata Perdana Menteri.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini