KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan dalam usaha membantu mangsa yang terkesan akibat serangan Israel.
Perdana Menteri memaklumkan perkara itu sendiri kepada rakan sejawatnya dari Lubnan, Najib Mikati, dalam pertemuan di Riyadh, Arab Saudi sebelum Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam.
“Dalam pertemuan ini saya nyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap Lubnan yang kini berdepan kegilaan rejim Zionis Israel.
“Malaysia juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel.
“Serangan itu turut mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tercedera,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Anwar akan mewakili Malaysia dalam Sidang Kemuncak Arab-Islam di Riyadh, Arab Saudi.
Beliau dijangkakan membawa usul menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestin dan menyampaikan suara serta harapan negara di pentas antarabangsa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.