comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sedia kongsi kepakaran urus tadbir pendidikan negara

FOTO: Zambry Abd. Kadir / Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran dan pengalaman dalam mengurus tadbir pendidikan negara bagi membantu negara yang memerlukan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Malaysia bersedia untuk bersama-sama memastikan agenda pendidikan diberi keutamaan di peringkat global.

“Sepanjang sesi The Education World Forum (EWF) 2024 berlangsung, Malaysia dianggap antara negara yang terkehadapan dan mempunyai perancangan yang baik dari segi pelaksanaan dasar pendidikan sama ada di peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zambry ketika ini mewakili Malaysia ke EWF iaitu forum tahunan yang menghimpunkan menteri pendidikan dan pendidikan tinggi hampir dari seluruh dunia yang berlangsung di Queen Elizabeth Hall, London, United Kingdom.

FOTO: Zambry Abd. Kadir / Facebook

Mengulas lanjut, Zambry berkata, dalam sesi sidang pleno EWF bertajuk ‘Apa yang boleh dipelajari antara satu sama lain dalam meningkatkan amalan dari segi peruntukan pembiayaan, perancangan strategi yang berkesan dan mengenal pasti keutamaan?’, beliau memberi pandangan dari sudut bagaimana strategi Malaysia dalam melaksanakan dasar pendidikan negara.

Jelasnya, Malaysia antara negara yang memberi penekanan penting dalam isu pendidikan yang mana 19 peratus daripada keseluruhan bajet negara pada tahun ini untuk sektor pendidikan.

Pada masa sama, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan dan fasiliti pendidikan dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi.

Dari segi strategi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan lima strategi bagi menghasilkan impak bukan sahaja kepada warga pendidikan malah kepada masyarakat dan negara.

Ia termasuk bakat berkualiti tinggi, penyelidikan dan inovasi yang berkesan, pemindahan ilmu kepada masyarakat, pengantarabangsaan globalisasi serta urus tadbir infrastruktur berkualiti.

FOTO: Zambry Abd. Kadir / Facebook

Dalam memastikan segala fokus strategi itu dicapai, Zambry berkata, beberapa tindakan diberi keutamaan iaitu mengadakan libat urus dengan kepimpinan universiti, selain setiap fakulti dan pentadbir universiti berbincang bagi memastikan sasaran ditetapkan akan dicapai dengan tindakan lebih berstrategik.

“Ada beberapa wakil negara turut datang berjumpa dengan saya dan kagum dengan cara Malaysia mengurus tadbir pendidikan negara dan mereka berharap agar Malaysia dapat menawarkan kepakaran dan pengalaman ini untuk membantu negara-negara yang memerlukan,” katanya.

Tambah beliau, perkara penting yang dikongsikannya adalah kepentingan kerjasama antara satu sama lain dan bergerak dalam pasukan untuk memastikan pendidikan pemangkin perubahan generasi masa hadapan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini