comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia seru pihak terlibat henti tindakan provokatif di Timur Tengah, minta siasatan dijalankan terhadap isu kemanusiaan di Gaza 

KUALA LUMPUR: Malaysia menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya bertenang dan menghentikan tindakan provokatif yang boleh memburukkan lagi konflik di rantau Timur Tengah.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad berkata, Malaysia amat bimbang dengan meningkatnya ketegangan di Timur Tengah.

“Kami menyeru semua pihak supaya menghentikan semua tindakan yang provokatif dan bersikap permusuhan.”, katanya semasa menyampaikan kenyataan Malaysia dalam Debat Terbuka mengenai keadaan di Timur Tengah, termasuk Persoalan Mengenai Palestin di New York pada Khamis (25 April),

Beliau mengetengahkan kesan ketara serangan Israel yang berterusan selama 200 hari yang membawa kepada akibat malapetaka kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Sebagai contoh, kami rasa amat terkejut dengan kemusnahan Hospital Nasser dan Al Shifa dan penemuan kubur besar di perkarangan hospital berkenaan.

“Kami minta siasatan antarabangsa yang bebas, menyeluruh dan telus,” katanya.

Malaysia juga mengkritik Israel kerana tidak mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, terutamanya Resolusi 2728 (2024) yang meminta Israel supaya segera menghentikan serangannya ke atas Gaza dan menarik balik sekatan terhadap bantuan antarabangsa.

Beliau juga mengecam rancangan operasi tentera Israel di Rafah dan memberi amaran akibat buruk jika serangan itu diteruskan.

Selain menyuarakan rayuan kepada Majlis Keselamatan dengan berkata, “Kebebasan daripada hukuman yang sekian lama dinikmati Israel telah menyebabkan ia berani untuk bertindak dengan melulu. Ini perlu dihentikan.”

“Majlis ini mesti bertindak dengan tegas untuk menguatkuasakan pematuhan di pihak Israel kerana akibatnya boleh menjadi sangat berbahaya, bukan hanya kepada rantau ini tetapi juga dunia,” katanya.

Wakil Malaysia itu juga menggariskan langkah tertentu untuk mengendurkan situasi tegang berkenaan, termasuk satu gencatan senjata yang berterusan dan berkekalan serta penghantaran bantuan kemanusiaan.

Sokongan kepada  Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) juga antara inti pati yang beliau gambarkan peranan UNRWA sebagai “ tiada galang gantinya dan amat diperlukan.”

“Fungsi UNWRA sebagai agensi pembangunan insan utama untuk pelarian Palestin perlu diteruskan dan disokong.

“Malaysia mengalu-alukan laporan akhir Kumpulan Semakan Semula Bebas yang memaklumkan terdapat prosedur dan mekanisme yang meluas sedia ada dalam UNRWA, bagi memastikan ia neutral.

“Kami juga mengalu-alukan komitmen UNRWA untuk melaksanakan syor yang diberikan mengikut kemampuan terbaik mereka. Sumber yang mencukupi perlu diagihkan kepada UNRWA ke arah usaha ini, “ katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini