comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia siap sedia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, fokus 3 tonggak utama 

 

Foto: PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Malaysia bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan tiga tonggak utama digariskan iaitu keselamatan dan politik, ekonomi, dan sosiobudaya.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, setakat Jun lepas, Malaysia telah menyusun atur sebanyak 257 mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan pemimpin negara, menteri dan pegawai yang akan diadakan tahun hadapan.

“Ini satu penghormatan kepada Malaysia dan pelbagai program telah disiapkan. Kita telah mengenal pasti tempat-tempat dan Sekretariat Induk Logistik ASEAN (SILA) 2025 sebagai sekretariat utama akan memantau serta menguruskan logistik dan substantif,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai persediaan kerajaan untuk menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, serta perkara utama yang ingin dicapai dalam tempoh Malaysia menjadi pengerusi.

Selain Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad berkata jawatankuasa peringkat menteri turut diwujudkan sebagai persediaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Amirudin mengenai cara Malaysia meningkatkan penyertaan rakyat kepada rakyat menerusi kepengerusian ASEAN 2025, Datuk Seri Mohamad berkata ia sememangnya menjadi hasrat kerajaan supaya faedah menjadi tuan rumah turut dirasai usahawan, dagangan dan negeri yang terlibat menerima tetamu untuk memperlihatkan kekayaan budaya serta sektor ekonomi negara.

Datuk Seri Mohamad berkata ia akan diperkasakan dengan penglibatan pihak swasta dan usahawan yang diuruskan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Malaysia untuk menganjurkan seminar serta libat urus.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini