Tumpuan :
Nasional

Malaysia siap siaga hadapi kemungkinan peningkatan tarif produk semikonduktor

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

RIO DE JANEIRO: Malaysia melihat keperluan untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat semikonduktor tempatan dan multinasional serta pihak Amerika Syarikat (AS), China dan Eropah bagi memastikan rantaian bekalan tidak terjejas susulan jangkaan dasar pentadbiran baharu AS.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ketika ini, pihaknya sedang berbincang dengan syarikat yang terlibat dalam industri tersebut supaya rantaian bekalan kekal kukuh.

“Cuma kerisauan mereka bukan untuk rantaian bekalan, kerisauan mereka adalah dari segi tarif kerana ada ura-ura ataupun semasa kempen pilihan raya (AS) baru-baru ini, Presiden Donald Trump ada mengatakan, beliau nak menaikkan tarif dalam sektor-sektor seperti Sektor semikonduktor dan sektor-sektor strategik yang lain.

“Itu masih lagi kita belum lihat, masih awal lagi,” katanya dalam sidang media kepada media Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).

Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Trump ketika kempen pilihan raya presiden AS menjanjikan untuk menaikkan tarif sebanyak 10 peratus atau 20 peratus ke atas semua barangan yang diimport ke AS dan tarif yang lebih tinggi sebanyak 60 peratus ke atas barangan buatan China.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul melahirkan kebimbangan sekiranya harga cip semikonduktor lebih mahal sehingga menyebabkan penggunaannya tidak meluas seperti yang dijangkakan.

Tambahnya, semua bidang teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) memerlukan cip semikonduktor sebagai elemen penting.

“Kita belum tahu lagi sama ada ini (kenaikan tarif) akan berlaku atau tidak, tapi kita kena buat kajian serta analisis beberapa senario,” katanya.

Ditanya sama ada ‘manifesto’ Trump akan memberi kelebihan kepada Malaysia, Tengku Zafrul menjelaskan, setakat ini, ketegangan geopolitik membawa limpahan positif kepada negara ASEAN kerana blok itu dianggap strategik dan berkecuali.

Ujar beliau, banyak syarikat di negara terutama China serta Eropah mempunyai ‘Strategi + One’ dan memilih ASEAN, yang mana mereka ingin melihat semula rantaian bekalan bagi memastikan ia lebih berdaya tahan dan terjamin.

“Bila kita lihat ASEAN ini, Malaysia adalah salah satu negara yang dipilih kerana kita ada pengalaman yang lama dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E) terutamanya, saya boleh kata lebih 50 tahun, jadi Itu yang positif.

“Yang negatifnya ialah dari jangka masa panjang, kalau betul tarif ini dinaikkan, kerisauan kita ialah dari segi permintaan. Harga itu akan menjadi mahal untuk pengguna, jadi kalau harga itu mahal, penggunaannya mungkin akan lebih berkurangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini