ISKANDAR PUTERI: Malaysia dan Singapura adalah rakan yang baik dan hubungan ini tidak seharusnya terganggu oleh sebarang isu yang timbul antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kedua-dua negara sudah bekerjasama dalam banyak perkara sepanjang sejarah walaupun mempunyai pergeseran kecil dan boleh terus menjadi rakan yang lebih baik pada masa hadapan sambil mendapat manfaat daripada situasi sama-sama menang.
“Kita (Malaysia dan Singapura) sudah tentu mempunyai masalah. Semua orang mempunyai masalah dengan jiran mereka, tetapi ia adalah perkara kecil dan boleh diatasi.
“Ini tidak seharusnya terpesong daripada tumpuan bahawa kedua-dua negara perlu berjaya. Kedua-duanya (adalah) rakan yang hebat dan boleh menjadi rakan yang lebih hebat apabila kita bekerjasama dan mendapat manfaat dalam situasi sama-sama menang.
“Sebab itulah saya teruja untuk bekerjasama dengan Singapura dan sudah tentunya memberi keutamaan kepada kerjasama ASEAN yang kami, Malaysia, akan menjadi pengerusi tahun depan,” kata beliau dalam ucap tama pada acara Invest Malaysia 2024 @ Iskandar Puteri, di sini, hari ini. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.