comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia sokong OIC cari jalan penyelesaian konflik Palestin-Israel

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia akan membangkitkan usaha yang telah dilaksanakan dalam mempertahankan hak rakyat Palestin dalam Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) esok.

 

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, perkara itu akan disuarakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat berkenaan di Jeddah, Arab Saudi.

“Beliau juga akan menjelaskan pendirian dan sokongan Malaysia kepada OIC dalam mencari jalan penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat tergempar itu diadakan melihat kepada keganasan berterusan oleh Israel di Semenanjung Gaza termasuk serangan di Rafah.

 

 

Ia akan disertai Menteri-menteri Luar Negeri dan wakil daripada negara anggota OIC dengan Mohamad akan diiringi pegawai daripada Kementerian Luar.

“Mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan pelaksanaan perkara-perkara yang telah dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Bersama Arab dan OIC pada November 2023,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, jelas Wisma Putra, sebagai sebuah negara pengasas OIC, Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin.

“Malaysia akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara dan Palestin diterima sebagai anggota penuh PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” menurut kenyataan itu.

Pada 11 November tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sidang kemuncak tergempar OIC di Riyadh yang membincangkan serangan, kekejaman dan ketidakperikemanusiaan rejim Israel yang berterusan ke atas Palestin.

Semasa sidang kemuncak itu, Perdana Menteri menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai usaha segera untuk menamatkan tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan krisis kemanusiaan masih berlarutan, serta keperluan utama bagi negara anggota OIC dan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu menangani nasib dan penderitaan rakyat Palestin.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sehingga kini, sekurang-kurangnya 30,534 rakyatnya terbunuh manakala 71,980 orang lagi cedera dalam peperangan di antara Israel dan Hamas yang meletus sejak 7 Oktober tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini