comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia Sokong Suu Kyi Dibebaskan, Adakan Rundingan

FOTO: REUTERS

KUALA LUMPUR: Malaysia bersama rakyat Myanmar menyokong gesaan supaya pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi dibebaskan segera bagi memulakan proses dialog aman dan inklusif dengan semua pihak berkepentingan di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata proses rundingan dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) perlu diteruskan dalam usaha menyelesaikan kebuntuan politik di negara itu.

“Hukuman tambahan terhadap Aung San Suu Kyi bersama empat aktivis demokrasi baru-baru ini membuktikan bahawa junta berulang kali tidak mengendahkan gesaan pemimpin ASEAN mewujudkan dialog konkrit dan inklusif dalam mencari perdamaian nasional di Myanmar dan memenuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN,” katanya dalam hantaran di Twitternya, hari ini.

Kenyataan itu susulan keputusan mahkamah junta Myanmar semalam yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Suu Kyi, kerana rasuah.

Suu Kyi, 77 kini menjalani hukuman penjara 11 tahun. Suu Kyi yang didakwa melakukan sekurang-kurangnya 20 jenayah sejak rampasan kuasa terhadap kerajaan dipilih tahun lalu, kini dipindahkan ke penjara di ibu negara Naypyitaw dan ditahan dalam kurungan bersendirian.

Akhir bulan lalu, junta Myanmar melaksanakan hukuman mati terhadap empat aktivis demokrasi negara itu, selepas didakwa membantu militan memerangi tentera yang merampas kuasa tahun lalu.

Empat aktivis itu termasuk tokoh demokrasi, Kyaw Min Yu dan bekas Ahli Parlimen serta artis hip-hop, Phyo Zeya Thaw; Hla Myo Aung dan Aung Thura Zaw yang menjadi sekutu Suu Kyi.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini